SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menjalankan operasi menanggalkan enam pintu rumah penyewa Projek Rumah Pangsa Kos Rendah Lobak terhadap penghuni gagal membayar dan mempunyai tunggakan sewa yang tinggi.
Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, tindakan itu diambil terhadap penyewa yang mempunyai tunggakan tertinggi iaitu di antara RM17,000 hingga RM34,000
Katanya, notis penamatan perjanjian penyewa terlibat juga telah tamat pada 31 Januari lalu dan tempoh pengosongan rumah juga telah berakhir pada 26 Februari.
“Setelah tamat tempoh dan peluang yang diberikan, MBS telah mengambil tindakan menanggalkan semua pintu di rumah terlibat sebagai pengajaran supaya mereka segera menjelaskan tunggakan,” katanya semalam.
Beliau berkata, MBS sentiasa memberi peluang dan membantu penyewa dengan menyediakan pelbagai kaedah supaya penyewa dapat menjelaskan tunggakan sewa dengan kadar sewa RM150 sebulan.
“Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan namun masih terdapat ramai penyewa mengambil sikap sambil lewa untuk menjelaskan tunggakan sewa.
“Bagaimanapun, penyewa masih dibenarkan tinggal di premis berkenaan untuk sementara waktu sebelum dapat menjelaskan tunggakan atau mendapatkan kediaman di tempat lain.
“MBS akan meneruskan operasi ini secara berkala dari semasa ke semasa. Penyewa di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paroi dan Rumah Kos Rendah Lobak juga diminta menjelaskan bayaran sewaan mengikut masa yang telah ditetapkan,” katanya.