Fitnah: Dr. Dzulkefly, Najib berbincang untuk penyelesaian

Fitnah: Dr. Dzulkefly, Najib berbincang untuk penyelesaian

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang berbincang bagi mencari kata sepakat untuk menyelesaikan kes saman fitnah membabitkan kedua-dua belah pihak.

Pada Januari 2022, Dr. Dzulkefly memfailkan saman atas kapasiti peribadi mendakwa, Najib telah memuat naik satu hantaran fitnah di Facebooknya pada 24 Ogos 2020, pada pukul 12.54 tengah hari berhubung isu kronisme serta satu lampiran paparan skrin artikel Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2019 dengan gambar wajah plaintif.

Peguam mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan itu, Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita selepas prosiding memaklumkan perkara tersebut.

Tambah peguam itu, Hakim Arziah Mohamed Apandi yang mendengar kes itu turut menetapkan pengurusan kes lanjut pada 7 April.

Sementara itu, Dr. Dzulkefly ketika ditemui hanya menjawab ringkas: “kita sedang berbincang.”

Menurut penyata tuntutan, Dr. Dzulkefly selaku plaintif mendakwa kenyataan yang dibuat Najib itu antaranya membawa maksud plaintif mengamalkan kronisme dengan penawaran jawatan atau lantikan kepada saudara-mara, tanpa melalui apa-apa penilaian objektif dan keupayaan terhadap sesuatu jawatan dalam syarikat-syarikat kerajaan atau swasta.

Plaintif mendakwa Najib telah menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat untuk menyerang peribadinya, menjatuhkan maruah serta mengaibkannya dan ia adalah bermotifkan politik yang secara nyata berniat untuk memfitnah serta menjejaskan reputasinya.

Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejen-ejennya meneruskan penerbitan atau menyebarkan hantaran tersebut dalam sebarang cara.

Plaintif turut memohon perintah agar defendan membuat permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di akaun Facebooknya dan dihebahkan di akhbar tempatan pilihannya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah, selain memohon ganti rugi am, teruk, teladan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri dalam pernyataan pembelaannya mendakwa hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebooknya tiada kaitan dengan Menteri Kesihatan itu.

Najib mendakwa terbitan tersebut merujuk kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH), oleh itu tiada sebarang fitnah telah dibuat terhadap plaintif.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya