TUMPAT: Perkhidmatan Feri Sri Tanjong 1 yang bernilai hampir RM8 juta dijangka beroperasi sebelum 1 Syawal ini selepas mendapat Sijil Penumpang daripada Jabatan Laut Malaysia.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Soh Yaacoub berkata, feri baharu jenis RORO itu tiba di jeti JKR Pengkalan Kubor sejak 4 Mac lalu bagi menGgantikan feri sedia ada yang sering rosak disebabkan faktor usia.
“Sebaik sahaja sijil kelulusan penumpang dikeluarkan, feri ini akan beroperasi bagi menggantikan feri sedia ada yang sudah berusia 37 tahun. Saya jangkakan ia dapat digunakan sebelum Aidilfitri ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Feri JKR Pengkalan Kubor, hari ini.
Sebelum itu, satu majlis penyerahan projek bagi Projek Perolehan Merekabentuk, Membina, Membekal, Menghantar, Menguji dan Menguji Terima Satu Unit RORO Feri Penumpang Dan Kargo Baharu Ke JKR Feri Pengkalan Kubor diadakan.
Nik Soh berkata, feri baharu itu mampu menampung 58 penumpang dan lapan hingga 10 kenderaan ringan atau sebuah bas 44 penumpang atau empat buah lori lima tan metrik atau dua buah lori 10 tan metrik
Katanya, Feri Sri Tanjong 1 dapat memberi impak pelancongan Malaysia-Thailand dan manfaatnya kepada penduduk terutamanya warga Kelantan.
“Ia dibuat di Pantai Barat dan dibawa ke jeti JKR Pengkalan Kubor melalui selat Melaka dan Laut China Selatan,” katanya. – UTUSAN