KUALA LUMPUR: Pengurusan Felda diberikan tempoh sebulan bagi mengemukakan hala tuju dalam usaha mengangkat martabat semua agensi dan anak syarikatnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan itu adalah sebagai persediaan untuk Felda menghadapi apa juga kemungkinan termasuk situasi lebih mencabar susulan perkembangan geopolitik semasa, walaupun unjuran permintaan sawit ketika ini berada
pada tahap lebih baik.
“Dalam keadaan geopolitik tidak menentu ini, kita harus siapkan diri untuk berdepan dengan keadaan yang lebih mencabar.
“Saya beri tempoh sebulan untuk pengurusan kemukakan pelan hala tuju dan akan pastikan seluruh kekuatan jentera serta pakar agar berpuas hati dengan hala tuju,” katanya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri, di sini semalam.
Menurut Anwar, beliau juga telah berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan nilai eksport produk sawit ke luar negara menerusi beberapa siri lawatan sebelum ini.
Selain itu katanya, usaha bagi memperkasakan Felda juga akan melibatkan pelbagai pihak dan pakar.
“Asalkan kita yakin mampu selamatkan Felda dan peneroka dengan beberapa langkah di ladang, pemasaran dan eksport, maka itulah antara kerja kita.
“Malah saya berbincang dengan Presiden China, Xi Jiping untuk mengimport sawit dari Malaysia. Saya juga minta Arab Saudi untuk pertingkatkan jumlah import sawit kita.
“Apabila permintaan naik harga juga naik. Jadi itu tugas dan pimpinan kerajaan iaitu menambah baik permintaan,”
jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Anwar semalam berkata, Pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diperluas kepada 5.4 juta penerima, meningkat hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 orang sedia ada, bermula 1 April ini.
Penerima yang layak akan memperoleh bantuan SARA hingga RM2,100 secara keseluruhan tahun ini, meningkat 75 peratus berbanding RM1,200 tahun lalu dan akan dikreditkan secara bulanan ke MyKad penerima di seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan.
Peluasan itu adalah sebahagian daripada peningkatan peruntukan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kepada RM13 bilion pada tahun ini dan jumlah itu adalah yang tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai oleh
SARA adalah pendekatan bantuan secara bersasar di mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi, diagihkan semula bagi mem bantu mereka yang benar-benar memerlukan.
Penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana kaedah itu memastikan golongan sasar menerima manfaat dalam bentuk barangan asas.
Pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih menggunakan MyKad di kedai runcit berdaftar yang berjumlah lebih 3,500 buah di seluruh negara kini berbanding 700 pada tahun lalu.
Penerima boleh menggunakan kredit disalurkan itu untuk membeli barangan keperluan asas terpilih bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain barangan makanan asas. UTUSAN