Fakta menarik enam selebriti Hollywood - Utusan Malaysia

Fakta menarik enam selebriti Hollywood

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seputar kehidupan seseorang selebriti itu apatah lagi jika melibatkan dunia Hollywood yang serba gah, pastinya tidak pernah jemu dicungkil ramai. 

Sama ada perkara baik atau sebaliknya, dunia artis Hollywood tidak pernah sunyi dengan pelbagai kisah atau gosip yang memberi lebih warna dalam industri penuh persaingan itu. 

Mewarnai hujung minggu anda hari ini, Pancaindera juga menyediakan beberapa senarai selebriti yang mempunyai fakta menarik untuk dikongsikan buat para pembaca. 

Regina Hall

Selepas putus cinta, aktres, Regina Hall pernah meluahkan hasrat untuk mencuba menjadi seorang biarawati. 

Regina berkata, sebelum ini dia pernah berminat untuk menyertai sebuah biara ketika berusia 14 tahun, namun di usia sekarang dia dianggap terlalu tua kerana kemasukan untuk menjadi biarawati perlu sedari umur yang muda.

Selain had umur, pelakon  itu juga mendedahkan bahawa terdapat juga larangan  untuk seseorang biarawati itu untuk mempunyai pasangan yang menyebabkan dia kemudiannya tidak jadi menjadi seorang biarawati. 

Queen Latifah

Anda mungkin meneka bahawa nama Queen Latifah adalah sekadar nama pentas. Tetapi  adakah anda tahu asal-usul bagaimana nama itu diperolehi pelakon wanita ini?

Difahamkan, pelakon yang dilahirkan dengan nama Dana Elaine Owens ini, sejak kecil dia sering mendengar ibunya memuji bahawa semua wanita di dunia ini adalah ratu dan semestinya harus dilayani bak seorang ratu. 

 “Ibu saya membesarkan saya dengan kepercayaan bahawa semua wanita adalah ratu dan harus dilayan sedemikian.

“Tidak cuma itu, ketika berusia 8 tahun, saya menemui nama Latifah dalam sebuah buku nama-nama Arab. Membaca nama itu membuatkan saya jatuh cinta dan menyukainya.

“Apabila diselidiki apakah maksudnya, ia membawa maknalembut, sensitif, baik hati, dan menyenangkan,”katanya. 

Zendaya

Jika anda mahu tahu, aktres bertubuh genit ini sebenarnya telah menjadi seorang vegetarian atau pengamal sayur-sayuran sejak berusia 11 tahun. 

Semasa dalam perjalanan ke sebuah lokasi di usia itu, dia dan bapanya melewati sebuah rumah penyembelihan haiwan.

Sambil memandu, bapanya menjelaskan bagaimana proses penyembelihan haiwan itu berlaku.

Zendaya serta-merta memutuskan untuk tidak mahu memakan daging lagi dan mengakui sehingga ke hari ini tidak pernah menyesal dengan keputusan itu. 

“Sebab utama saya menjadi vegetarian adalah kerana saya pencinta haiwan, bukan kerana saya suka sayur-sayuran,” katanya.

Angela Bassett

Menerusi lakonannya sebagai Ramonda dalam filem Black Panther: Wakanda Forever, Angela Bassett menjadi pelakon pertama yang menerima pencalonan Oscar dan Golden Globe untuk sebuah filem Marvel. 

Angela kemudiannya memenangi Anugerah Golden Globe bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Filem Terbaik.

Namun, itu bukan satu-satunya pencapaian bersejarahnya! 

Angela juga menjadi pelakon kulit hitam pertama yang memenangi Golden Globe bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik dalam Filem – Muzikal atau Komedi menerusi lakonannya sebagai Tina Turner dalam filem biografi What’s Love Got to Do With It pada tahun 1993.

Yara Shahidi

Selain berlakon, Yara Shahidi mempunyai pelbagai bakat lain. 

Siapa sangka, wanita jelita sepertinya sebenarnya memiliki tali pinggang hitam dalam seni mempertahankan diri Tang Soo Do (sejenis karate).

Malah, dia juga pandai melukis dengan menggunakan cat air, dan juga pandai mengait. 

Graduan Harvard yang berdarah Afrika-Amerika dan Iran ini juga berkebolehan bertutur dalam bahasa Parsi. Malah, itu juga merupakan bahasa pertamanya selain bahasa Inggeris. 

Alicia Keys

Bercakap tentang Alicia, tahukah anda bahawa ibunya, Terria Joseph telah menolak idea awal untuk nama pentasnya?

Penyanyi yang dilahirkan sebagai Alicia Augello Cook itu pernah menyelak kamus dan memilih nama belakang Wild untuk digunakan sebagai nama pentasnya. 

Ketika bertanyakan pendapat ibunya, Alicia telah mendapat tentangan yang menganggap jika dia menggunakan nama Alicia Wild, ia kedengaran seperti penyanyi kelab malam. 

Akhirnya, Alicia memilih Keys sebagai nama pentasnya yang disifatkan bak kekunci piano. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya