SEGAMAT: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari dan ke Stesen Segamat secara rasmi bermula hari ini, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperluaskan rangkaian rel negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd. Rani Hisham Samsudin, perkhidmatan tren ETS yang dilanjutkan itu merupakan laluan sedia ada iaitu sektor Butterworth – Gemas – Butterworth dan Padang Besar – Gemas – Padang Besar.
Beliau berkata, KTMB amat berbesar hati untuk memperkenalkan perkhidmatan ETS ke Segamat, yang bakal memberikan kemudahan perjalanan rel moden dan lancar kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
“Lanjutan perkhidmatan ini mencerminkan komitmen kami dalam meningkatkan pengangkutan awam serta menyediakan pilihan perjalanan yang lebih lestari,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, laluan baharu ini juga dijangka merancakkan aktiviti ekonomi di Segamat dengan meningkatkan aksesibiliti dan menarik lebih ramai pelawat ke bandar itu.
Katanya, aktiviti promosi telah bermula tiga hari lalu dengan mengunjungi pejabat-pejabat kerajaan di sekitar Segamat, pasar raya, masjid serta bazar Ramadan bagi bertemu orang ramai dalam menguar-uarkan lanjutan perkhidmatan ETS ke Segamat.
“Bagi meraikan berita gembira ini, KTMB turut menawarkan promosi khas kepada para pengunjung yang hadir ke Stesen Segamat.
“Jualan barangan eksklusif Rail Boutique KTMB serta pemeriksaan kesihatan percuma oleh CVSKL turut berada di Stesen Segamat bagi bersama meraikan lanjutan pengoperasian tren ETS ke Segamat pada hari ini.
“KTMB mengharapkan penduduk di sekitar Segamat tidak ketinggalan untuk hadir ke Stesen Segamat bagi bersama memeriahkan aktiviti yang direncanakan.
“Orang ramai dialu-alukan untuk menaiki perkhidmatan ETS dari Stesen Segamat bagi merasai pengalaman menaiki tren ini dan rancang perjalanan serta membuat pembelian tiket lebih awal,” katanya.
Tiket-tiket boleh didapati melalui aplikasi KITS, laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my, atau di mesin kios KTMB bagi kemudahan dan keselesaan pelanggan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200. – UTUSAN