KUDAT: Seramai 33 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi khas yang dikordinasikan oleh Komando Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) baru-baru ini.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, daripada 105 individu yang diperiksa dalam operasi berkenaan, 33 orang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau permit yang sah.
Katanya, kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Dalam operasi sama, seorang individu dewasa ditahan kerana dipercayai mengambil bahan terlarang dan individu terbabit telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat untuk saringan ujian air kencing. Siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Selain itu, sebanyak 95 premis kediaman turut diperiksa di bandar Kudat dan kawasan sekitarnya melibatkan Kampung Tanjong Kapor, Kampung Landong Ayang dan Kampung Pangaraban,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, seramai 106 orang pegawai dan anggota terlibat dalam menjayakan operasi yang disertai pelbagai agensi dan jabatan termasuk PDRM, Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Pasukan Gerakan Udara serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Jelas beliau, operasi itu dilakukan bagi menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) di samping, membanteras penyeludupan barang kawalan, barangan tidak bercukai serta mengekang penyusupan PATI.
“ESSCOM akan terus mempergiat operasi seumpama ini ke daerah-daerah di ESSZone bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai timur Sabah,” katanya.