KUALA TERENGGANU: Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) memperuntukkan RM60,000 melalui Program Jalinan Kasih Ramadan 2025 bagi menceriakan 170 anak yatim piatu dan asnaf di negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim berkata, program tersebut dibahagikan kepada dua fasa iaitu 100 kanak-kanak di Parlimen Kuala Terengganu dan bakinya 70 orang di Kemaman.
“Kita raikan anak-anak ini dengan mengajak mereka membeli pakaian raya seterusnya dibawa berbuka di sebuah hotel agar mereka tahu masih ramai yang sayang dan ambil peduli kebajikan mereka.
“Program ini diharap dapat menceriakan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi dan menyuntik semangat agar terus melakukan yang terbaik untuk mengubah kehidupan di masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada program itu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dr. Muhtar Suhaili dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Wan Mohd Azilah Wan Abdullah.
Sementara itu, seorang anak yatim piatu, Norasma Syahida Wan Muhammad, 12, gembira dapat memilih pakaian yang cantik untuk digayakan pada hari raya tidak lama lagi.
“Arwah ibu, Kamsah Besor, meninggal dunia pada 2022 akibat kanser usus ketika berumur 50 tahun dan ayah pula, Wan Muhammad Wan Long, 61, meninggal dunia setahun selepas itu.
“Saya anak bongsu dari empat beradik dan setiap kali raya rindu pada arwah ibu dan ayah. Tinggal di asrama tak sunyi sangat kerana ramai kawan. Alhamdulillah, hari ini seronok dapat pilih baju raya dan tak sabar nak balik rumah tunjuk pada kakak dan abang saya nanti,” katanya. – UTUSAN