PETALING JAYA: Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan dari Manila, Filipina ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik petang kelmarin selepas salah satu enjinnya terbakar.
Kebakaran enjin pesawat itu dipercayai akibat perlanggaran dengan burung yang menyebabkan penerbangan itu terpaksa berpatah balik.
Walau bagaimanapun, penerbangan MH705 dilaporkan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Pengguna X, @dasunhegoda berkata, enjin pesawat terbakar selepas berlepas dari lapangan terbang, sambil memuat naik gambar api yang marak daripada enjin ketika di udara.
Lelaki tersebut turut mengucapkan penghargaan kepada juruterbang dan anak kapal kerana memastikan keselamatan penumpang.
Akaun rasmi X, MAS kemudian membalas kenyataan itu dengan menyatakan penghargaan terhadap kefahaman para penumpang sepanjang detik cemas itu.
“Kami lega mendengar anda dan benar-benar menghargai kefahaman anda dalam situasi sukar ini,” katanya. – UTUSAN