PUTRAJAYA: Sebagai pelakon utama filem Soloz: Game Of Life, Hun Haqeem sudah melunaskan tanggungjawab sebaik mungkin menghidupkan karakter yang diberikan.
Oleh itu, Hun atau Haqeem Hermy, 27, berkata urusan jumlah kutipan filem adalah diluar bidang kuasanya sebagai pelakon dan enggan sewenangnya memberikan komen.
“Sebab itu saya tak mahu komen soal kutipan filem Soloz di pawagam. Sebagai pelakon, apa yang saya harapkan adalah siapa yang tonton filem terkesan dengan cerita itu.
“Kita mahu cerita itu jadi inspirasi kepada mereka yang menonton. Kalau orang rasa filem Soloz menjadi inspirasi buat mereka, ia satu kejayaan buat saya.
“Selebihnya, kita berserah kepada Allah kerana kita sudah cuba yang terbaik untuk filem itu,” katanya.
Hun ditanya mengenai kutipan filem Soloz yang didakwa tidak berjaya meraih kejayaan seperti naskhah arahan Syafiq Yusof yang lain.
Sebagai anak seni, Aktor TV Popular, Anugerah Bintang Popular ke-36 itu berpendapat tidak ada formula tepat yang boleh digunakan sebagai jaminan sesuatu filem itu akan laris di panggung.
“Dari segi kutipan filem di pawagam, kita tidak pernah tahu hasilnya. Contohnya, kalau kita buat formula seperti ini apa hasilnya. Kalau buat pemasaran sedemikian, apa pula hasilnya kerana banyak benda yang kita buat membabitkan media sosial.
“Sebenarnya, susah untuk menjangka dari segi kutipan di pawagam kerana mungkin kurang kesedaran mengenai filem itu dan atau kekurangan dari segi pengiklanan,” katanya.
Hun ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelancaran single Zapin Malam Raya penyanyi Ara Johari dan Trio Latah di Putrajaya, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Hun enggan patah semangat sebaliknya positif terhadap usaha pengkarya tempatan yang sudah keluar daripada zon selesa menghasilkan filem genre berbeza.
“Insya-Allah, kita masih boleh perbaiki lagi karya pada masa akan datang. Kali ini, kita mengambil risiko untuk hasilkan filem yang luar dari kebiasaan seperti genre seram, komedi dan aksi.
“Apa yang penting, kita sangat bangga untuk tonjolkan filem ini kepada penonton tempatan mahupun di luar negara di mana kita mampu menjayakan cerita animasi sedemikian,” katanya.
Filem Soloz: Game Of Life yang menelan belanja sebanyak 8 juta mengisahkan perjalanan hidup dan cabaran yang dihadapi Soloz sebelum bergelar ikon e-Sukan di Malaysia.
Filem ini meraih kutipan RM3 juta selepas 15 hari ditayangkan.
Turut sama membintangi filem itu ialah Noki K-Clique, Syafie Naswip, Hafeez Mikail, dan ramai lagi. -UTUSAN