IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak akan bertemu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Rabu ini bagi mengemukakan dapatan kajian lapangan yang dijalankan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN negeri berkata, dapatan yang dijalankan oleh beberapa organisasi itu akan diteliti bersama Presiden UMNO dan kepimpinan parti sebelum sebarang keputusan dibuat bagi memuktamadkan calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
Katanya, setakat ini, enam pemimpin UMNO Tapah masih kekal dalam senarai untuk dipilih sebagai calon pada pilihan raya berkenaan.
“Daripada lapan calon, dua orang yang tarik diri. Enam calon lagi masih ada dan kita pun belum buat keputusan. Ada beberapa organisasi sedang membuat kajian lapangan di sana (Ayer Kuning) untuk kita lihat antara enam calon ini siapa yang terbaik.
“Saya telah berjumpa pengerusi pada Khamis lalu, Insya-Allah Rabu ini selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (di Kuala Lumpur), saya akan berjumpa beliau untuk membentangkan dapatan kajian lapangan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan, di sini semalam.
Sementara itu beliau berkata, penetapan tarikh pilihan raya bermula 12 hingga 26 April ini tidak akan mengganggu kelancaran sidang DUN Perak yang ditetapkan pada 15 hingga 22 April.
Katanya, tiada keperluan untuk meminda tarikh persidangan meskipun ketika itu kempen PRK DUN Ayer Kuning sedang berlangsung.
“Setakat ini saya tidak dapat apa-apa maklumat mengenai keperluan pinda (sidang DUN) kerana ia perkara yang berasingan. Pada saya, ia tidak mengganggu kerana biasanya keperluan untuk berada di lapangan tidak semestinya wakil rakyat kerana semua (jentera) dari seluruh negara akan turun membantu kempen.
“Boleh sahaja jika Speaker DUN berpandangan untuk meneruskan persidangan kerana ia tidak mengganggu apa-apa kecuali jika mengambil kira perkara lain termasuk faktor keselamatan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 26 April ini bagi hari pengundian PRK DUN Ayer Kuning manakala tarikh penamaan calon pada 12 April dan hari pengundian awal pula pada 22 April depan.
Seramai 66,318 pemilih terdiri daripada 31,897 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan membabitkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Ishsam Shahrudddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menyertai perlawanan bola sepak di George Town, Pulau Pinang pada 22 Februari lalu. – UTUSAN