Empat termasuk wanita ditahan dipercayai cederakan penguat kuasa DBKL

Empat termasuk wanita ditahan dipercayai cederakan penguat kuasa DBKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan dipercayai menghalang pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang bertugas di ibu negara, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita bertugas sebagai pegawai penguat kuasa DBKL pada 5.59 petang berkaitan kejadian itu.

Pegawai terbabit memaklumkan ketika bertugas di Jalan Benteng, kira-kira 11.30 pagi, dia mengalihkan trak makanan yang menghalang lorong, menyebabkan pemilik trak wanita menghalang tindakan pengadu dan berlaku pergelutan.

“Berikutan itu, pengadu mengalami kecederaan dan luka akibat digigit manakala wanita terbabit ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Pada 10.08 malam, pihak polis menerima satu lagi laporan membabitkan kekecohan antara petugas DBKL dan beberapa penjaja di sekitar Masjid India.

Ketika petugas DBKL cuba menyuraikan kekecohan, mereka dirempuh secara kasar, menyebabkan pengadu terjatuh.

Susulan itu tiga lelaki tempatan, berusia antara 15 hingga 39 tahun, ditahan untuk siasatan lanjut, dengan salah seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan dadah.

“Seorang daripada mereka mempunyai satu rekod lampau membabitkan kesalahan dadah dan kedua-dua insiden menghalang tugas penjawat awam ini disiasat mengikut Seksyen 186 kanun keseksaan,” katanya.

Reman untuk kes pertama membabitkan seorang wanita tempatan berusia 30 tahun dibenarkan selama dua hari bermula hari ini, manakala tangkapan tiga lelaki direman tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu ini.

Media semalam melaporkan dua anggota penguat kuasa DBKL diserang penjaja tidak berlesen di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, dalam dua kejadian berasingan kelmarin.

DBKL dalam kenyataan berkata dua laporan polis dibuat berhubung kejadian berkenaan kerana mendatangkan kecederaan kepada anggota penguat kuasa.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya