4 wakili Malaysia ke pertandingan STEM Racing Dunia 2025

Empat pelajar wakili Malaysia ke pertandingan STEM Racing Dunia 2025

PASUKAN Layang yang dianggotai empat pelajar wanita SMK Bandar Putra daripada pelbagai kaum bakal mewakili Malaysia ke pertandingan akhir STEM Racing Dunia 2025, akhir tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Empat pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra (SMKBP) di sini bakal mewakili negara dalam pertandingan akhir STEM Racing Dunia 2025 yang akan diadakan di Asia Barat, akhir tahun ini.

Menariknya, pasukan bernama Layang itu diwakili tiga kaum majoriti negara iaitu Anis Fadhilah Azman, 15; Tricia Lai Ren Hee, 16; Angel Jasminder Villamor Singh, 16, serta Prashantinee Chandra Mohan, 15.

Pasukan yang telah dibentuk sejak tiga tahun lalu itu ini dinobatkan selaku Juara STEM Racing Peringkat Kebangsaan 2025 pada bulan lalu dengan menewaskan 150 pasukan lain.

Tricia berkata, kejayaan dilakar pasukannya itu menunjukkan bahawa bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) boleh dipelajari mana-mana pihak tanpa mengira jantina.

“Mungkin dahulu masyarakat berpendapat bidang ini dipelopori lelaki, tetapi selari dengan peredaran zaman, wanita juga mampu menyerlah dalam bidang STEM.

“Sifat seorang wanita yang teliti dan memiliki kesabaran tinggi boleh dimanfaatkan, khususnya dalam bidang yang memerlukan ketepatan dan perincian lengkap,” katanya yang mahu menjadi seorang jurutera.

Seorang lagi ahli pasukan, Anis Fadhilah pula memberitahu, mereka mahu meneruskan kejayaan dilakar khususnya di peringkat antarabangsa apabila bertemu pasukan negara-negara lain.

“Kami tidak gentar, sebaliknya bersemangat membawa nama Malaysia dan bertanding di peringkat dunia. Segala persiapan telah dibuat dengan harapan mencapai kedudukan podium,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik.

Sementara itu, Guru Penasihat Pasukan Layang, Nor Masdiana Abdul Rahman memberitahu, pendedahan terhadap pertandingan itu berjaya mendidik kemahiran bidang STEM kepada pelajarnya.

“Seperti kita tahu, bidang ini penting bagi pembangunan negara. Pelajar ini mula menunjukkan minat dan bercita-cita menjadi jurutera, arkitek dan guru sains setelah melibatkan diri dalam pertandingan ini.

“Pertandingan ini adalah antara platform melahirkan lebih ramai modal insan yang berminat menceburi karier dalam bidang STEM pada masa depan,” ujarnya.

Pada masa sama, Nor Masdiana turut memberitahu pihaknya sedang mengumpul dana bagi membiayai pasukan Layang mewakili negara di pertandingan akhir tidak lama lagi.

“Jumlah peruntukan dianggarkan sebanyak RM100,000 membabitkan kos pendaftaran, penerbangan, penginapan dan lain-lain,” katanya sambil memberitahu pihak berminat membuat tajaan boleh hubungi talian 010-4501189. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN