Empat lelaki terlibat pecah rumah, samun secara solo diberkas

Empat lelaki terlibat pecah rumah, samun secara solo diberkas

CHRISTOPHER Patit (tengah) menunjukkan gambar motosikal digunakan suspek kes samun pada sidang akhbar di IPD Melaka Tengah, Batu Berendam, Melaka. - UTUSAN/ MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pengawal keselamatan dikenali sebagai Salleh Solo diberkas polis selepas dipercayai terlibat kegiatan pecah rumah di Bachang di sini membabitkan kerugian berjumlah RM45,000 pada 15 Mac lalu.

Suspek lelaki berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 petang pada 23 Mac selepas polis berjaya menimbulkan cap jarinya di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek bekerja di Cheras, Kuala Lumpur tetapi melakukan jenayah pecah rumah di Melaka untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Suspek baru sahaja keluar penjara pada Januari kerana kesalahan dadah. Modus operandi adalah dengan cara mengumpil tingkap rumah yang tiada penghuni dan memecah masuk secara bersendirian.

“Hasil curi dipercayai digunakan untuk kegunaan harian. Penahanan ini berjaya menyelesaikan kes pecah rumah melibatkan anggaran kerugian RM45,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Christopher memaklumkan, tiga penganggur dipercayai aktif melakukan jenayah sama turut ditahan secara berasingan di beberapa lokasi sekitar daerah ini.

Katanya, kesemua suspek lelaki berusia 31 hingga 58 tahun itu mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau termasuk salah seorang didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Nathan Solo ditahan pada 16 Mac di tepi jalan Melaka Raya 14 kerana disyaki terlibat tiga kes pecah rumah membabitkan kerugian sebanyak RM25,000. Sementara itu, Joseph Solo ditangkap di Bukit Rambai pada 18 Mac selepas dipercayai terlibat kegiatan pecah masuk hostel pekerja dan mencuri telefon bimbit dengan anggaran kerugian kira-kira RM6,000.

“Jebot Solo dicekup pada 20 Mac kerana disyaki terlibat cubaan rompak telefon bimbit dan rantai leher. Suspek menyasarkan orang awam yang bersendirian dengan berpura-pura menegur sebelum merompak mangsa,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 380 KK, Seksyen 411 KK, Seksyen 393 KK dan Seksyen 384 KK. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya