KAJANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan larangan pergerakan ke atas kenderaan barangan selama empat hari sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mengurangkan kesesakan serta risiko kemalangan jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, larangan tersebut akan dikuatkuasakan pada 29 dan 30 Mac serta 5 dan 6 April ini, melibatkan tempoh perjalanan sebelum dan selepas perayaan.
Menurutnya, ia dibuat bagi memastikan kelancaran trafik terutama bagi pengguna jalan raya yang pulang ke kampung halaman.
“Larangan berkenaan bertujuan mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas akibat percampuran trafik antara kenderaan berat dan persendirian yang meningkat mendadak musim perayaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Operasi khas JPJ di Stesen Penguat Kuasa JPJ Semenyih di sini, hari ini.
Tambah Anthony, tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik dan pemandu kenderaan barangan yang ingkar larangan tersebut.
“Sekiranya didapati gagal mematuhi arahan tersebut, mereka boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300 atau didakwa di mahkamah dengan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Katanya, dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, JPJ turut melancarkan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 bermula 24 Mac hingga 8 April di seluruh negara.
Jelasnya, JPJ tidak akan berkompromi dengan kesalahan seperti memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu serta membawa penumpang berlebihan. – UTUSAN