POKOK SENA: Ramadan dan Aidilfitri tahun ini pastinya amat sayu bagi empat beradik yang kehilangan ibu bapa mereka sekelip mata dalam kemalangan jalan raya di Pendang, Januari lepas.
Muhammad Azril Hafizi, 15, meluahkan kerinduan kepada ibu bapa, Allahyarham Mazlan Abu Hassan dan Noriza Saad apabila terpaksa menjalani ibadah puasa buat pertama kali tanpa mereka.
“Kami empat beradik merindui suasana berpuasa apabila bangun sahur mak yang kejutkan dan makan bersama-sama. Paling dirindui adalah masakan ibu, rendang dan gulai ayam.
“Memang lain rasanya sebab ini kali pertama berpuasa tanpa mereka. Namun kami bersyukur kerana masih ada ibu dan bapa saudara yang sudi menjaga kami seperti anak sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan E-Idaman Sdn. Bhd. dan KSDC Insurance Brokers Sdn. Bhd., hari ini.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan Muhammad Azrul, adiknya, Aina Damia, 14, serta dua adik kembar mereka yang berusia dua tahun, Nur Qaseh Melissa dan Nur Chinta Melissa menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka, maut dalam kemalangan di Pendang.
Ujar Muhammad Azrul, sebagai anak sulung dia berusaha menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada tiga adiknya terutama si kembar yang masih kecil.
“Saya sudah biasa menjaga mereka sejak kecil lagi ketika arwah keluar bekerja. Sekarang saya berusaha menggembirakan mereka dan ibu bapa saudara banyak membantu.
“Setiap Jumaat selepas solat saya akan ziarah kubur ibu dan bapa di situ dan sedekah al-Fatihah untuk mereka,” katanya.
Ibu saudara mereka, Zuraina Abu, 53, berkata, dia berusaha sedaya upaya menjaga empat beradik tersebut dengan penuh kasih sayang agar mereka tidak merasa kehilangan berat itu.
“Saya memikul amanah yang diberikan oleh arwah ibu bapa mereka yang pernah berkata, kalau mereka meninggal dunia, saya dan suami perlu jaga mereka sebaik mungkin.
“Anak-anak saya semua sudah dewasa dan kini rumah ini kembali ceria sebab ada kanak-kanak lagi. Mereka suka nasi tomato dan rendang jadi saya selalu sediakan untuk mereka,” katanya.
Terdahulu, Pengurus Sumber Manusia E-Idaman, Mohd. Shamsul Zulkifli yang mengetuai kunjungan itu berkata, pihaknya menyampaikan bantuan berupa wang tunai dan barang makanan sempena program Ziarah Ramadan Kita bertujuan memberi keceriaan kepada keluarga itu.
“Ziarah ini adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat syarikat sempena Ramadan. Kami membantu adik beradik itu dan diharapkan ia dapat meringankan beban mereka sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri ini,” katanya. – UTUSAN