KOTA BHARU: Trend pembelian emas terpakai kembali rancak menjelang Aidilfitri apabila orang ramai memenuhi kedai emas bagi mendapatkan perhiasan untuk digayakan pada 1 Syawal.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar jajahan ini mendapati, walaupun harga emas semasa mencecah RM411 segram, ia tidak menghalang ‘Mek Kelate’ daripada membeli emas, terutama jenis terpakai yang lebih murah dan berkualiti.
Seorang pembeli, Asiah, 55, berkata, dia lebih gemar membeli emas terpakai kerana nilainya yang berbaloi serta boleh dijadikan pelaburan jangka panjang.
“Setiap kali Aidilfitri, saya membelanjakan antara RM3,000 hingga RM5,000 untuk membeli barang kemas, termasuk untuk anak-anak sebagai simpanan masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Sumber Manusia MZ Gold Sdn. Bhd., Nur Akmal Ahmad Tajuddin berkata, pihaknya telah menjual 3.7 kilogram emas terpakai sejak awal Ramadan dan jumlah itu dijangka meningkat menjelang Aidilfitri selepas kepulangan anak-anak Kelantan di perantauan.
“Rantai tangan jenis lipan menjadi pilihan utama pelanggan setakat ini,” katanya.-UTUSAN