Eksklusiviti pop Nourul Depp jarang kedengaran - Utusan Malaysia

Eksklusiviti pop Nourul Depp jarang kedengaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NOURUL DEPP satu daripada bintang pop Malaysia yang karyanya benar-benar saya raikan. Dua lagu kekal di ingatan, Kerana Terluka dan Cinta Azali dalam album debut, Nurul (1995) – memainkan peranan cukup besar dalam portfolionya sebagai penyanyi komersial.

Kekuatan lagu itu mendorong wanita kelahiran Pulau Pinang ini merangkul anugerah Artis Baru Wanita Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 1996. 

Saya juga tidak melupakan bagaimana hebat lagu duetnya di awal tahun 2000-an bersama bekas suami, Ajai seperti Keliru; Aku Cinta, Aku Rindu; Satukan Kita Berdua; Sehati Sejiwa; Maafkanku; Bila Kau Tiada dan Lagu Rindu, membuka jalan untuk dia memiliki empat album gandingan serta rangkaian lagu hits. 

Dengan gemersikan dan kelantangan vokal, serta attitude berpentasnya dalam menjiwai lagu-lagu tempatan, Nourul antara penyanyi yang membantu mengangkat standard pop Melayu di zamannya. 

Bagaimanapun, karya pop Nourul jarang diketengahkan dalam pasaran muzik Malaysia. Sekarang, langkah bermuziknya tidak lagi sama seperti zaman dia bermula sebagai penyanyi dan penghibur. 

Tiada apa yang dia raikan dalam industri muzik hari ini ketika tiada produk baharu sebagai kemunculan semula, malah tidak kelihatan dalam mana-mana acara showbiz

Membuka katalog muziknya, banyak karya Nourul selain dua lagu tersebut yang memiliki daya tarikan. 

Seandainya suratan takdir ketika itu memihak Nourul, lagu-lagunya pasti terlorong dalam ruang pendengar lebih besar seperti kita biasa mendengar karya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Dayang Nurfaizah, Ramlah Ram dan ramai lagi penyanyi kelas A. 

Saya memiliki empat album studio Nurul dan tidak pernah merasa bosan memutar lagunya beberapa kali. Berawal album pertama, sudah jatuh cinta dengan rangkaian lagu yang tidak mendapat sambutan seperti Restu Menanti, Keterbiasaan Itu Pagar Berduri, Rujuk Berundur, Demi Kaulah dan Kini Ku Sedari

Saya tidak pasti bagaimana perkembangan album Nourul sama ada benar-benar berjaya atau gagal, kerana perolehan muzik ketika itu tidak semudah sekarang. 

Namun, pendengaran saya terus terpaku mendengar Bukan Aku Tak Sanggup, Ikhlasnya Cintaku, Cintamu Tak Setia, Di Rantau Orang, Niat Terhalang, Tiada Kali Kedua, Ku Kehilanganmu, Terkunci, Ke Pusara Sepi, Janganlah Kau Pergi dan Sinar Menanti dalam album menyusul selepasnya, Ikhlasnya Cintaku (1996) dan Kini dan Selamanya (1998) walaupun berkitar dalam acuan yang sama. 

Album Tika Cinta (2009) menyaksikan bagaimana muzik Nourul lebih berkembang dan tidak lagi terikat dalam ilham 90-an. Karya paling menangkap lagu berjudul sama yang berkonsepkan pop Jepun ciptaan Sharon Paul disusuli beberapa lagu Sepenuh Jiwa, Kala Hati, Tertutup Hati, Jadikan Aku Bintang dan Tangis Syukur.  

Malangnya, pasaran muzik ketika itu seolah-olah menolak kehadiran Tika Cinta sebagai produk baharunya atau promosi dan pemasarannya tidak berjalan dengan teratur menyebabkan album itu terkubur tanpa nisan.  

Kebanggaan saya terhadap Nourul apabila dia berani menerbitkan album bahasa Perancis sembilan lagu, Humaine (2018), sentuhan komposer, Kirsten Harma, sebagai permulaan menembusi pasaran muzik Eropah. 

Saya berpuas hati dengan keseluruhan produksi album ini seperti Paris atteinte, Moi et toi et moi, Comme toujours, Aujourd hui, Coquelicot, Dreams and Hope sehinggalah Nourul mengeluarkan satu daripadanya (Dan Kini) untuk single pasaran Malaysia.

Pun begitu, album ini kekal misteri kerana hanya Nourul dan penerbitnya tahu sama ada Humaine satu kejayaan atau kegagalan komersial. 

Hingga saat ini, Nourul masih menjaga eksklusivitinya dengan tidak terlalu terbuka dalam bermuzik dan hanya membuat persembahan terpilih. 

Meskipun tidak banyak karyanya didengar orang, namun, masih ada yang mengikuti perjalanan muziknya di atas garis masa yang berlainan. 

Lima album studio dan beberapa album mini dan kompilasi miliknya membuktikan Nourul sudah mencurahkan sepenuhnya untuk dunia nyanyian. 

Di usia ini, dia tidak perlukan saluran massa untuk menjadikannya terus relevan kerana dia sentiasa ada dalam permintaan pasaran muzik Malaysia, sekalipun tanpa akses kepada media dan orang awam.  

Pilihan utamanya bukan lagi menyerap gerakan muzik baharu untuk memastikannya terus diraikan. Tidak semua orang perlu menerima lagunya bagaimana, bersandarkan Kerana Terluka dan Cinta Azali sahaja sudah cukup untuk orang mengenali satu jenama bernama, Nurul atau Nourul Depp.   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya