TANGKAK: Seorang ejen produk kecantikan mengalami kerugian sebanyak RM140,000 akibat ditipu seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dengan mendakwanya terlibat dalam kes penipuan pelaburan saham.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd. Talib berkata, mangsa wanita berusia 49 tahun itu mendakwa dihubungi suspek beberapa hari lalu yang menyamar sebagai anggota polis.
Katanya, suspek memberitahu mangsa terlibat dalam kes penipuan pelaburan saham serta mahu membekukan akaun banknya bagi tujuan audit.
“Mangsa yang mempercayainya telah melakukan enam transaksi ke dalam empat akaun yang berbeza disyaki ‘mule account’ seperti yang diarahkan suspek.
“Mangsa kemudian menyedari ditipu dan membuat laporan semalam. Mangsa mengalami kerugian RM140,000,” katanya hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat serta didenda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN