JOHOR BAHRU: Seorang ejen hartanah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu dua individu melibatkan wang tunai berjumlah RM48,000 pada Mac tahun lalu.
Tertuduh, S. Shaminee, 43, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Shaminee menghadapi dua pertuduhan itu bersama-sama seorang pegawai penyiasat polis berpangkat Inspektor, namun wanita berkenaan tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana cuti sakit.
Kedua-dua tertuduh didakwa menipu seorang lelaki berusia 44 tahun dan seorang wanita berusia 33 tahun bahawa mereka adalah peguam dan pegawai penyiasat yang boleh menyelesaikan siasatan kes atas kesalahan menggaji pembantu rumah warga asing tanpa permit dan ke atas ibu mentua mangsa bagi kesalahan menjalankan perkhidmatan membekalkan pembantu rumah tanpa permit dan lesen yang sah.
Perbuatan itu mendorong mangsa memasukkan wang, masing-masing berjumlah RM24,000 secara dalam talian.
Shaminee didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri pada 17 Mac 2024.
Dia didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Asmah Zainal Ariffin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 April depan untuk sebutan semula kes termasuk pertuduhan terhadap pegawai polis tersebut.
Habis.
Caption:
- SHAMINEE didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pertuduhan menipu dua individu pada Mac tahun lalu.