Dulu ada yang kata muzik Mohram tak boleh jual

Dulu ada yang kata muzik Mohram tak boleh jual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI Malaysia ini tidak banyak kumpulan seperti Mohram yang mengetengahkan muzik eksperimental sebagai wadah karya. Jumlah mereka masih sedikit dan boleh dihitung dengan jari.

Kelompok yang meminati muzik komersial seperti Pop, Rock, R&B dan bermacam-macam lagi adalah lebih ramai berbanding yang menggemari muzik eksperimental.

Maka, hari ini, Mohram boleh dikategorikan sebagai pemuzik eksperimental tempatan yang paling menonjol.

Mohram dianggotai Mohardiman Ismail yang bermain seruling dan Ramli Hamid (rebana). Hampir 30 tahun mereka berjuang di bawah nama kumpulan yang tercipta hasil gabungan nama mereka berdua.

Tempoh hampir tiga dekad itu terisi dengan pengalaman pahit dan manis. Dua pemuzik berdepan jalan yang sangat mencabar dalam memperdagangkan jenis muzik berlainan.

“Muzik eksperimental ini kedengaran asing sejak dulu lagi. Malah, sewaktu awal Mohram ditubuhkan dahulu, tidak ramai yang yakin dengan genre muzik pilihan kami ini.

“Banyak syarikat rakaman, ada antaranya yang nama-nama besar yang menolak apabila kami cuba jual muzik kami kepada mereka.

“Saya teringat pada seorang penerbit muzik yang mengatakan kepada kami bahawa muzik kami tak boleh jual, akan ‘bulat-bulat’ ditolak.

“Tapi kami tidak pernah putus asa. Kami percaya, setiap halangan pasti disertakan jalan keluar,” kata Ramli.

Mohardiman dan Ramli adalah anggota asal sejak kumpulan ini ditubuhkan pada 1997. Keanggotaan mereka tidak pernah ditukar ganti.

SIMBOLIK

Boleh dikatakan, Mohram juga adalah simbolik kepada nilai persahabatan dua pencinta muzik yang sampai hari ini masih relevan dalam dunia hiburan tempatan.

“Kami mula bersahabat apabila sama-sama terlibat dalam konsert M. Nasir Crossing UK pada 1997.

“Sebelum itu, Datuk M. Nasir mencari beberapa lagi pemuzik yang boleh bermain (muzik) secara akustik.

“Mohardiman adalah salah seorang yang ditawarkan membarisi pemuzik konsert tersebut. Dari situlah saya kenal dia,” cerita Ramli.

Kata Mohardiman, dia dan Ramli terinspirasi dengan kewujudan pemuzik-pemuzik jalanan (buskers) di London dan kagum apabila menyaksikan jumlah mereka yang ramai di negara itu.

“Kami berpeluang mengunjungi Kensington Garden di London dalam rangka persembahan bersama M. Nasir itu.

“Kami kagum apabila melihat ramai buskers yang membuat persembahan di taman tersebut.

“Dari saat itu, kami memasang impian untuk menubuhkan sebuah kumpulan dan membuat persembahan di Eropah,” kongsinya.

Itu satu nama yang disebut Ramli apabila ditanya mengenai individu yang banyak membantu di awal pembabitan mereka.

Dalam ramai yang menutup pintu, Fauzi Marzuki satu-satunya penggiat seni yang mampu melihat sejauh mana perginya karya kumpulan Mohram.

Justeru, beliau mahu memberikan peluang dan sokongan kepada Ramli dan Mohardiman untuk berkarya.

“Ketika itu, Fauzi bertugas di Synchrosound Studio. Dia terdengar cerita yang kami sedang merancang untuk menghasilkan album.

“Kami tiada wang yang banyak masa itu. Jadi, Fauzi tawarkan kami guna studio selama 200 jam untuk rakam lagu dengan syarat, bayaran pemuzik kami tanggung semuanya sendiri.

“Kami berterima kasih kepada Fauzi kerana dialah yang membuka jalan untuk kami membuat album. Maka terhasillah album pertama kami iaitu Sakti,” ujar Ramli.

BERMUZIK SAMPAI KE JEPUN

PERJUANGAN muzik Mohram membawa mereka mengembara ke banyak tempat. Antara negara yang pernah dikunjungi mereka adalah Jepun.

Mohardiman berkata, negara Jepun membuka mata terhadap mereka terhadap banyak perkara lebih-lebih lagi mengenai muzik dan kesenian.

“Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika kami membuat persembahan di Tokyo dan Osaka sempena festival muzik orkestra di sana.

“Kami tidak sangka orang Jepun suka pada muzik eksperimental yang berunsurkan kemelayuan. Sampaikan penonton, lapan kali memberikan standing ovation ketika menonton persembahan kami di Osaka Hall.

“Persembahan kami, yang ketika itu membawakan dua lagu, antaranya Sakti, diiringi kumpulan pemuzik orkestra.

“Ketika itu kami menerima bantuan pemuzik berpengalaman, Ruslan Imam yang menyusun semula komposisi dua lagu berkenaan untuk dipersembahkan dengan orkestra,” kongsinya.

Mohardiman turut menceritakan plaque penghargaan yang mereka terima dari pihak penganjur yang diabadikan di sebuah galeri di Tokyo Hall.

“Plaque itu, yang tercetak tanda tangan kami, disimpan di galeri itu sampai sekarang,” kongsinya lagi.

ALBUM RELIGI

TAHUN ini mencatatkan satu lagi sejarah baharu untuk Mohram dengan penghasilan album religi yang diterbitkan Inteam Records.

Album berjudul Dhuha yang diterbitkan sempena Ramadan itu mengandungi lapan lagu instrumental termasuk dua karya baharu iaitu Dhuha dan Zehra.

Menurut Ramli, selain julung kali bekerjasama dengan Inteam Records, penghasilan projek ini bagai impian terlaksana kepada Mohram.

“Sebenarnya, Zehra dan Dhuha adalah antara lagu yang bertahun-tahun kami ‘peram’. Akhirnya ia sampai juga ke halwa telinga pendengar.

“Lagu-lagu ini juga antara karya yang hilang dalam simpanan selepas folder dalam komputer kami diserang virus.

“Namun, kami bersyukur kerana Allah menguatkan memori untuk kami dapatkan semula melodi-melodinya, maka kini terhasillah lagu-lagu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya