SEREMBAN: Dua set tren perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari China akan diterima negara pada bulan hadapan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tren tersebut akan beroperasi pada penghujung tahun ini melibatkan laluan Padang Besar ke Gemas serta diperluaskan ke Johor Bahru dengan Segamat.
“Apa kita buat sekarang melanjutkan perkhidmatan ETS sedia ada ke Segamat sebab stesen sudah siap. Bagaimanapun, laluan ke Johor Bahru belum siap lagi dan hanya sampai ke Segamat sahaja.
“Di laluan Segamat menggunakan tren sedia ada dan tren-tren baharu sedang disiapkan malah dua tren ETS pertama akan tiba daripada China bulan depan. Lain-lain tren sedang dibina di kilang dekat Batu Gajah.
“Kami menjangkakan hujung tahun ini secara beransur-ansur tren ETS baharu tersebut akan beroperasi,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Menteri Pengangkutan Bersama Pemimpin Masyarakat dan Majlis Berbuka Puasa 2025 di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Setakat ini, sebanyak 10 tren ETS sedia ada sedang menjalani penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tahap empat yang dijangka selesai sepenuhnya pada suku keempat tahun ini.
Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, kapasiti pengguna ETS selepas ini akan meningkat apabila lebih banyak perkhidmatan tren ETS beroperasi dan kekerapan bagi perkhidmatan tren dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur dan sebaliknya.
“Laluan perkhidmatan tren itu juga akan melalui laluan Seremban dan penumpang di Seremban akan mempunyai banyak pilihan untuk mengambil tren sama ada selatan ke utara.
“Semua perkhidmatan tersebut akan beroperasi beransur-ansur menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Sementara itu, pada majlis itu, turut diadakan penyerahan zakat perniagaan oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC) sebanyak RM300,000 kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Turut diadakan penyerahan sumbangan kepada masjid dan surau serta golongan asnaf sempena Ramadan daripada Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Seremban. – UTUSAN