JOHOR BAHRU: Sebanyak dua tan makanan yang tidak terjual di bazar Ramadan telah diselamatkan dan diagihkan kepada beberapa pihak, termasuk golongan yang memerlukan dalam tempoh dua minggu umat Islam berpuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi inisiatif MySaveFood oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Jumlah makanan yang diselamatkan itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding sebanyak 650 kilogram (kg) makanan yang diselamatkan dalam tempoh sama, tahun lalu,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri di sini, hari ini.
Ting Han berkata, makanan yang dikumpulkan telah diagih kepada penuntut universiti dan kolej, rumah anak yatim, rumah kebajikan warga emas serta golongan miskin pada hari sama.
“Program ini memberi tumpuan terhadap usaha mengumpulkan makanan tidak terjual dari bazar-bazar terpilih di Johor bagi mengelakkan ia dibuang ke tapak pelupusan sampah.
“Susulan kejayaan program ini, KPDN Johor akan meneruskan inisiatif ini pada masa depan, sekali gus berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai untuk mengelakkan pembaziran makanan,” katanya. – UTUSAN