SEREMBAN: Dua orang remaja lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang gagal berhenti di lampu isyarat merah dalam nahas di Jalan Persiaran Senawang 1, berhampiran Taman Matahari Height, Senawang di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah kereta dan dua buah motosikal.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda Jazz y dipandu seorang remaja lelaki berusia 18 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 17 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Paroi.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai telah gagal berhenti di lampu isyarat warna merah lalu melanggar dua buah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
“Akibat kemalangan ini, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss masing-masing berusia 15 dan 16 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Mohamad Hatta lagi, pemandu dan penumpang keret serta penunggang dan pembonceng motosikal jenis Honda Vario mengalami kecederaan parah telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa penunggang dan pembonceng motosikal yang maut telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.-UTUSAN