KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyerbu dua premis penyembelihan ayam di sekitar Cheras di sini hari ini kerana didapati beroperasi secara haram dan kotor.
Tinjauan mendapati ayam diletakkan di atas lantai dalam keadaan jijik dan kotor, selain premis berkenaan beroperasi di kawasan tersorok.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Seman berkata, operasi terbabit dilaksanakan berdasarkan risikan dua minggu yang dijalankan pihaknya menerusi Op Pantau 2025 bagi membanteras aktiviti premis penyembelihan ayam tanpa lesen dan keraguan terhadap pematuhan syarat halal.
Katanya, KPDN mendapati terdapat pihak yang menjual ayam secara meragukan.
“Selepas risikan dibuat, kita mendapati ada dua premis ini beroperasi secara tidak berlesen (tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan) selain kebersihan dan keteraturan operasi sangat lemah.
“Kita turut menyita lebih 3,000 kilogram ayam dianggarkan bernilai RM28,000 daripada dua kilang terbabit yang sebelum ini pernah diberikan notis tutup operasi oleh agensi lain pada Januari lalu,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan hari ini.
Menurutnya, premis penyembelihan yang beroperasi pada 8 malam sehingga 3 pagi setiap hari menggunakan khidmat pekerja warga asing.
“Seramai 26 warga asing dari India dan Bangladesh yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
“Jakim akan menjalankan kajian terperinci melibatkan perbahasan halal dengan siasatan dijalankan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 kerana premis berkenaan disyaki melanggar Perintah 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, iaitu Perintah 4(1) yang memperuntukkan bahawa sebarang makanan atau barang tidak boleh dilabel sebagai halal atau ditandakan seolah-olah halal,” katanya.
Menurutnya, operasi ini penting bagi memastikan tahap keyakinan rakyat terutamanya pengguna Muslim terhadap produk ayam yang dijual sentiasa terjamin dan patuh syariah.
“KPDN dengan kerjasama Jakim telah melaksanakan pemeriksaan di 11 premis hotel sekitar Kuala Lumpur bermula 2 Mac hingga Selasa lalu bagi memastikan pengusaha hotel tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan logo halal yang tidak sah atau tidak mendapat kelulusan dari pihak Jakim.
“KPDN tidak akan berkompromi dengan pengusaha, pengilang atau pemborong yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk membuat aduan kerana isu penyembelihan ayam sangat sensitif kepada pengguna terutama orang Islam.
Tambahnya, kes tersebut disiasat dibawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730], Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.-UTUSAN