Dua peniaga didenda RM1,500 jual bingkai hiasan silap ayat al-Quran

Dua peniaga didenda RM1,500 jual bingkai hiasan silap ayat al-Quran

LAIKATHALI Sharif (kanan) dan Wan Zuraini Abd. Rahim (dua dari kiri) ketika hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Krai, Kelantan. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Dua pemilik kedai masing-masing didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menjual bingkai hiasan yang mengandungi kesilapan ayat al-Quran, tahun lalu.

Tertuduh, Laikathali Sharif, 64, yang merupakan pemilik Shahid Berkat Enterprise, dan pemilik Mg Maju Trading, Wan Zuraini Abd. Rahim,23, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.

Mengikut pertuduhan, Laikathali didakwa memiliki 24 bingkai hiasan al-Quran pelbagai saiz dan empat unit muslim zikir pembesar suara ‘plug-in’ yang mengandungi kesilapan ayat oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sementara itu, Wan Zuraini dituduh memiliki lima bingkai hiasan al-Quran pelbagai saiz yang mengandungi kesilapan ayat oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran KDN.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sebuah premis di Jalan Ah Seng di sini kira-kira pukul 11 pagi pada 26 Ogos 2024. Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 (1) Akta Pencetakan Teks Al Quran 1986 (Pindaan 2023) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara selama tempoh sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Amal Razim menegur supaya Laikathali dan Wan Zuraini lebih peka dan berhati-hati sebelum membeli barangan berkaitan percetakan ayat al-Quran.

Mahkamah kemudian menetapkan denda sebanyak RM1,500 kepada kedua-dua tertuduh dan penjara dua bulan sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut. Laikathali dan Wan Zuraini membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya