Dua penarik kereta ditahan terlibat edar 43kg dadah

Dua penarik kereta ditahan terlibat edar 43kg dadah

SUKARNO (tengah) menunjukkan bungkusan dadah disyaki bunga ganja (buds) pada sidang akhbar serbuan sindiket pengedaran dadah jenis ganja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua penarik kereta tidak sempat mengedar dadah jenis ganja seberat 42 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM483,722 setelah ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Cuepacs, Segambut di sini pada Rabu lalu.

Operasi serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul bersama anggota Balai Polis Jinjang itu berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Sentul dan Jinjang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 43 dan 33 tahun yang sedang memindahkan bungkusan hitam berisi ganja ke dalam sebuah kereta Perodua Bezza dalam operasi dijalankan pada pukul 7.25 malam.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menemukan dua bungkusan plastik hitam berisi bunga ganja seberat 2.01 kg di atas tempat duduk penumpang belakang, manakala 38 lagi bungkusan plastik hitam berisi 40.37 kg ganja dalam bonet.

“Siasatan lanjut mendapati rumah teres dua tingkat yang digunakan dalam operasi pengedaran dadah itu bukan milik suspek, sebaliknya disewa secara harian melalui platform dalam talian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Beliau berkata, kediaman itu dipercayai ditempah oleh individu lain disyaki sebagai dalang utama sindiket berkenaan.

“Rumah itu bukan digunakan sebagai lokasi transit, sebaliknya hanya disewa untuk mengambil dan memindahkan dadah sebelum dihantar ke lokasi lain. Suspek hanya menerima arahan untuk mengambil barang di rumah tersebut sebelum memindahkannya ke dalam kereta,” katanya.

Selain itu katanya, pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek turut menemukan sejumlah kecil dadah jenis methamphetamine (1.6 gram) dan kanabis (0.4 gram) dalam poket seluar mereka selain mendapati masing-masing positif dadah menerusi ujian saringan air kencing.

“Semakan rekod jenayah mendapati suspek berusia 43 tahun mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah kekerasan, manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod jenayah.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek sudah terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak dua bulan lalu dan menerima bayaran antara RM1,000 dan RM1,500 bagi setiap penghantaran,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 19 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

“Kejayaan tersebut berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang mampu menampung penggunaan seramai 100,000 penagih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya