PENAMPANG: Seorang rentung manakala, seorang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Limbanak, di sini hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi itu, seorang mangsa ditemukan rentung manakala, seorang lagi mangsa yang dipercayai terkena renjatan elektrik maut di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kebakaran itu pada pukul 3.36 pagi dan dua pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dan Putatan dengan keanggotaan seramai 19 orang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, dimaklumkan terdapat tiga mangsa yang terlibat dalam kebakaran berkenaan. Operasi pemadaman dilakukan dengan menggunakan satu aliran 200 kaki dua pancutan sumber air yang diperoleh daripada anak sungai.
“Semasa operasi pemadaman, dua mangsa berjaya ditemukan. Seorang wanita berusia 50-an maut dipercayai terkena renjatan elektrik manakala, seorang lagi ditemukan rentung di dalam rumah. Jantina mangsa rentung belum dapat dikenal pasti.
“Pencarian mangsa terakhir masih dilakukan di sekitar kawasan rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, pasukan unit pengesan K9 turut digerakkan ke lokasi kejadian untuk membantu operasi.