Dua lelaki tak sempat jual mercun, bunga api

Dua lelaki tak sempat jual mercun, bunga api

MOHD. Sofwan Abd. Rahman keluar dari Mahkamah Majistret Dungun, Terengganu selepas mengaku bersalah memiliki mercun dan bunga api tanpa permit. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Hasrat dua lelaki mencari pendapatan tambahan dengan menjual mercun dan bunga api di bulan Ramadan, mengundang padah apabila mereka didenda oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas didapati memiliki bahan letupan itu secara haram. 

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nur Amira Fatihah Osman, terhadap Mohd. Sofwan Abd. Rahman, 43, sebanyak RM5,300 dan Zarul Mustakim Jaya@Sidek, 29, sebanyak RM3,800 selepas kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan dalam prosiding berasingan terhadap mereka. 

Mengikut pertuduhan, Mohd Sofwan yang merupakan jurukimpal didapati memiliki 300 kotak kecil pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa kebenaran yang sah. Kesalahan itu dilakukan lelaki itu pada 21 Februari lalu di sebuah stor atau rumah tidak bernombor di Kampung Che Lijah, di sini kira-kira pukul 1 petang. 

Zarul Mustakim pula yang merupakan seorang mekanik didapati memiliki 43 jenis mercun dan bunga api, juga tanpa permit. Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada 4 Mac lalu di sebuah rumah di Kampung Burung Baru, di sini, kira-kira pukul 12.10 tengah malam. 

Kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 7 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Ketika ditanya Nur Amira Fatihah, tujuan memiliki mercun dan bunga api tersebut, kedua-dua tertuduh masing-masing memberitahu mahkamah mereka ingin menjual semua barangan itu untuk mencari pendapatan lebih sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya