Dua lelaki ditahan seludup lebih 900 kg minyak sawit

Dua lelaki ditahan seludup lebih 900 kg minyak sawit

HASIL pemeriksaan ke atas lori tersebut membawa kepada penemuan empat tong dengan satu daripadanya mengandungi kira-kira 900 kilogram minyak sawit mentah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Taktik dua lelaki menyeludup keluar minyak sawit mentah menggunakan lori gagal apabila kegiatan itu dipatahkan dalam satu operasi di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Seremban, Lebuhraya KL-Seremban (PLUS) arah utara, semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 petang itu, pasukan Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang melakukan pemantauan di lebuh raya mengesan sebuah lori jenis Isuzu berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut membawa kepada penemuan empat tong dengan satu daripadanya mengandungi kira-kira 900 kilogram minyak sawit mentah yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa dokumen sah.

Pengarah JSPT, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, dua lelaki berusia lingkungan 30-an yang berada dalam lori itu ditahan bagi membantu siasatan.
“Pasukan operasi telah menghampiri lori tersebut dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat minyak sawit mentah dalam lori berkenaan yang tidak mempunyai dokumen yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) kerana memiliki dan mengangkut minyak sawit tanpa kebenaran yang sah.

Dalam operasi sama, pasukan polis turut mengeluarkan sebanyak 13 saman ke atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang pemeriksaan dijalankan.

“Kedua-dua suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut, manakala lori bersama minyak sawit tersebut dirampas sebagai bahan bukti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya