TAPAH: Dua beranak maut dalam kemalangan melibatkan dua buah lori di Kilometer (KM) 331.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada pukul 7.46 pagi melibatkan sebuah lori muatan pasir yang melanggar belakang lori membawa muatan kapas.
“Maklumat daripada ketua operasi terdapat seorang mangsa ditemui mati terbakar iaitu pemandu lori muatan pasir.
“Seorang lagi mangsa iaitu anak pemandu itu ditemui tersepit di bawah kepala lori, didapati mati terbakar dan telah berjaya dibawa keluar oleh pasukan penyelamat,” katanya,
Difahamkan, mangsa yang maut adalah seorang lelaki berusia 40-an manakala anak lelakinya berumur sekitar 20-an.
Pemandu lori muatan kapas pula tidak mengalami sebarang kecederaan. – UTUSAN