KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pelaburan dan dua pengurusan tertingginya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan mengiklankan skim pelaburan tanpa kebenaran antara 2021 sehingga 2023.
Syarikat Kenaf Trading Global Sdn. Bhd. dan anak lelaki sebagai pengarah syarikat, Irfan Hadi Jazman Shahar, 28, masing-masing menghadapi dua pertuduhan manakala bapanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Jazman Shahar Abdollah, 53, didakwa terhadap empat pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dan syarikat terbabit didakwa telah mengeluarkan iklan mengandungi maklumat untuk mana-mana individu untuk menjadi peserta dalam skim “Kenaf Development Fund” sedangkan skim itu tidak didaftarkan dan dibenarkan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara September 2021 sehingga Ogos 2022 serta di antara September 2022 sehingga Ogos 2023 di sebuah unit premis di Plaza Sentral di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3(2)(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pada tarikh dan tempat yang sama, Jazman Shahar juga didakwa atas dua lagi pertuduhan iaitu terlibat secara langsung dalam pengurusan syarikat sama sedangkan dia merupakan seorang muflis.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 198(1)(a) Akta Syarikat 2016 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 198(7) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM1 juta atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Kes itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Nurul ‘Ain Shafie manakala kedua-dua tertuduh dan syarikat terbabit diwakili peguam Zahidah Md. Zaman.
Dua beranak itu dan syarikat terbabit mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azrul Darus bagi kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.
Mahkamah kemudian membenarkan Jazman Shahar diikat jamin sebanyak RM40,000 manakala Irfan Hadi dibenarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.
Azrul juga memerintahkan kedua-dua lelaki itu untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis pada minggu pertama setiap bulan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 April ini.
Sebelum ini media melaporkan SSM menyerbu beberapa premis milik syarikat dan syarikat amanah yang mendalangi skim pelaburan haram, dikenali sebagai Kenaf Development Fund (KDF), yang didapati mengaut hampir RM140 juta daripada 1,919 pelabur.
SSM memaklumkan, serbuan itu dijalankan susulan aduan diterima daripada pelabur KDF yang tidak berpuas hati dengan pihak syarikat kerana gagal membayar pulangan seperti yang dijanjikan. – UTUSAN