Dua beradik terkunci dalam kereta, bapa beli juadah berbuka

Dua beradik terkunci dalam kereta, bapa beli juadah berbuka

ANGGOTA bomba bertindak membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas bagi memastikan kedua-dua mangsa dapat dikeluarkan dengan selamat di Merlimau, Jasin, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Detik cemas dialami dua beradik lelaki berusia enam dan empat tahun apabila mereka terkunci dalam sebuah kereta di Merlimau di sini, semalam ketika bapa mereka meninggalkan kenderaan untuk membeli juadah berbuka puasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 petang itu, bapa mangsa yang berusia 34 tahun dikatakan meninggalkan kedua-dua anaknya dalam kereta Toyota Vios dengan enjin tidak dimatikan, manakala tingkap dibuka sedikit.

Namun, sebaik kembali ke kenderaan kira-kira 20 minit kemudian, dia mendapati pintu dan tingkap terkunci dan kedua-dua anaknya sedang tidur.

Panik dengan keadaan itu, dia segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau untuk mendapatkan bantuan.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.43 petang dan sebuah jentera bersama lima anggota segera digerakkan ke lokasi.

“Jarak lokasi insiden hanya satu kilometer dari balai, membolehkan pasukan penyelamat tiba dalam tempoh kurang dua minit, iaitu pada pukul 3.44 petang. Setibanya di tempat kejadian, kami mendapati dua kanak-kanak lelaki berada dalam kenderaan yang terkunci.

“Pasukan bomba segera bertindak membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas bagi memastikan kedua-dua mangsa dapat dikeluarkan dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata, situasi berjaya dikawal pada pukul 3.53 petang dan kedua-dua mangsa diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

“Walaupun hanya meninggalkan kenderaan untuk tempoh singkat, risiko seperti ini boleh berlaku. Kami menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memastikan kunci dibawa bersama dan mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya