KANGAR: Dua anggota polis bersama dua orang awam didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 240,000 biji mercun bola bernilai RM35,000, pada 15 Mac lalu.
Tertuduh, Lans Koperal E. Lohindran, 32; Koperal Mohd Hisyamuddin Ahmad Mispha, 37 dan dua orang awam tersebut iaitu Nurrul Azizol Mohamad, 40, serta Fairol Izwan Abdul Aziz, 47, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd. Nor.
Menurut kertas pertuduhan, mereka bersama individu yang masih bebas dituduh memiliki bahan letupan tanpa kebenaran.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 15 Mac lalu di sebuah rumah di Taman Kemajuan, Kangar, Perlis sekitar pukul 4.30 petang.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia, Inspektor S. Mageswaran, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.
Pegawai pendakwa memohon agar kesemua tertuduh dikenakan ikat jamin setimpal, namun pihak pembelaan merayu agar kadar ikat jamin dikurangkan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 21 April depan. – UTUSAN