PETALING JAYA: Dua acara larian denai di Sabah bakal menjadi tumpuan tahun ini dalam usaha mengetengahkan aspek pelancongan negeri terbabit.
Tourism Sabah dalam satu kenyataan berkata, acara Jejak Ultra TMBT dan Ultra Kadamaian itu akan diadakan pada Julai serta Ogos ini di bawah gabungan siri Asia Trail Master dengan mengetengahkan beberapa laluan terbaik serta pemandangan cantik.
Justeru katanya, dua acara tersebut memberi peluang kepada setiap peserta untuk mencuba aktiviti lain seperti perkhemahan, berakit di Sungai Padas, luncur layar di Bukit Kokol, berbasikal di Lahad Datu dan mengharungi ngarai Sungai Taralamas menerusi konsep ‘runcation.
“Sabah merupakan sebuah destinasi versatil yang mana ia bersesuaian untuk penggemar melakukan aktiviti menyelam, meredah hutan, meneroka budaya atau pengembaraan dan ia bersesuaian untuk perjalanan solo, berbulan madu atau secara berkumpulan.
“Justeru, untuk mereka yang menyertai dua acara larian denai ini sebenarnya boleh juga melakukan pelbagai aktiviti lain dengan berteraskan konsep ‘runcation’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, Tourism Sabah juga telah menyenarai pendek enam tempat wajib dilawati di Sabah terutama menjelang penganjuran Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) nanti.
Katanya, antara tempat tersebut termasuk Maliau Basin, Pusat Maklumat Rafflesia dan Taman Marin Tunku Abdul Rahman.
“Selain itu, terdapat lebih 30 persatuan pelancongan daerah Sabah yang aktif dalam menawarkan produk seperti inap desa dengan memberi peluang untuk merasai pengalaman sebenar di negeri ini,” ujarnya. – UTUSAN