PETALING JAYA: Pelakon, Datuk Aaron Aziz mengalami tekanan darah tinggi selepas mengetahui dirinya ditipu sebuah agensi pengurusan umrah.
Menurut Aaron, dia mengalami kerugian hampir RM90,000 selepas memberikan pinjaman wang serta tidak menerima gaji mahupun komisen daripada agensi terbabit.
“Selepas kes isteri saya, saya pula kena. Gaji tak dapat, komisen pun tak dapat. Malah saya bagi pinjam hampir RM90,000 pun tak dibayar,” katanya.
Menerusi perkongsian di TikTok, pelakon filem The Experts itu turut berkongsi bacaan tekanan darahnya yang meningkat sehingga 179 berbanding normal.
Kesal dengan perkara tersebut, Aaron turut berpesan kepada orang ramai untuk membuat kebaikan secara berpada-pada.
“Sekali lagi syarikat haji umrah buat hal. Kata orang tua, buat baik pun kena berpada-pada. Sampai di hospital, tekanan darah 179,” ujarnya.
Sebelum ini, Aaron mendedahkan isterinya, Diyana Halik, juga berdepan insiden di mana pekerja sendiri mencuri wang syarikat.
Simpati dengan nasib pelakon itu, rata-rata netizn berharap Aaron dapat menjaga kesihatannya dengan baik meskipun berdepan dengan ujian.
“Semoga cepat sembuh. Semoga Allah kurniakan rezeki 10 kali ganda,” komen seorang netizen.
“Semoga dipermudahkan segala urusan dan cepat sembuh,” kata seorang peminatnya.-UTUSAN