Didenda RM5,000, beri maklumat palsu daftar kelahiran anak

Didenda RM5,000, beri maklumat palsu daftar kelahiran anak

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan memberikan maklumat palsu ketika mendaftarkan kelahiran dua orang anaknya.

Majistret Amira Abd. Aziz menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan maklumat palsu semasa membuat permohonan pendaftaran kelahiran kanak-kanak menggunakan borang daftar kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 2.13 petang, 10 April 2009 di kaunter JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pukul 3.43 petang, 4 Ogos 2010 di kaunter JPN Daerah Kepong. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36 (a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 yang memperuntukkan hukuman denda sebanyak RM2,000 atau penjara selama tempoh 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, tertuduh juga didakwa mengemukakan maklumat palsu semasa membuat kad pengenalan kali pertama 12 tahun menggunakan borang permohonan kad pengenalan. 

Tertuduh didakwa di bawah Perkara 25 (1) (b) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990, Akta Pendaftaran Negara 1959 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 9 Mac 2021 pada pukul 8.57 pagi di kaunter Bahagian Kad Pengenalan JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

Peguam Ku Mohd. Fauzul Azim merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan berbentuk denda berikutan masalah kesihatan yang memerlukan rawatan serta tanggungan keluarga. 

“Tertuduh sekarang tidak bekerja, tidak mempunyai sumber pendapatan dan menanggung keluarganya seramai lima orang. 

“Tiga anak tertuduh masih bersekolah berusia berusia 12,14,15 tahun. Tertuduh turut menanggung isterinya, 52, dan menanggung serta menjaga ibunya berusia 87 tahun yang mempunyai penyakit lumpuh,” kata peguam itu. 

 

Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN, Nurraudhah Adilah Bahadun memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Mengikut fakta kes, pada 23 Mac 2025, pukul 10 malam, JPN telah menahan tertuduh di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana disyaki dengan sengaja membenarkan maklumat untuk dibuat bagi maksud pendaftaran apa-apa kenyataan palsu semasa membuat permohonan pendaftaran kelahiran kanak-kanak. 

Hasil siasatan mendapati, dua kanak-kanak tersebut bukan anak kandung kepada isterinya melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya