Di SisiMu sentuhan Arie Tidar, Ito Lara 'menangkap' halwa pendengar - Utusan Malaysia

Di SisiMu sentuhan Arie Tidar, Ito Lara ‘menangkap’ halwa pendengar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Harus trending ini, Indonesia setia bersama nasyid sejak tahun 1999.”

Demikian komen seorang pendengar dari negara seberang terhadap single terbaharu nyanyian Hazamin Inteam, Di SisiMu di platform Youtube, baru-baru ini.

Terbukti, lagu itu, yang menerima sentuhan Arie Tidar dan lirik oleh Ito Lara berjaya ‘menangkap’ jiwa bukan sahaja pendengar tempatan, malah dari negara jiran.

Hazamin dalam kenyataan yang dikongsikan baru-baru ini, mengakui, melodi dan lirik lagu berkenaan berjaya menjerat jiwa ketika pertama kali mendengarnya.

“Pertama kali mendengar demo lagu Di SisiMu gubahan Arie Tidar dan lirik oleh Ito lara ini, saya terus jatuh hati dengan melodi dan mesejnya. 

“Ia sangat sesuai dengan jiwa saya, kebetulan pula saya sedang menerbitkan album Zikir Munajat sempena Ramadan, jadi saya rasa ia sesuai dijadikan trek bonus dalam album Zikir ini” Ujarnya.

Terbitnya lagu solo dari Hazamin ini juga telah menimbulkan tanda tanya mengenai status beliau bersama kumpulan Inteam.

Namun Hazamin dalam kenyataan yang sama menjelaskan penghasilan single solo itu bukan menandakan dia sedang merancang untuk meninggalkan kumpulan tersebut.

“Saya tidaklah mahu bergerak solo malah tidak pernah berniat atau terfikir keluar dari Inteam untuk bergerak sendiri.

“Cuma kami sepakat untuk menampilkan single solo masing-masing bagi mencari kelainan. 

“Bahkan sahabat-sahabat Inteam yang lain semua menyokong dan membantu promosi single ini,” katanya.

Sementara itu, Syah Inteam menyifatkan single solo Hazamin sebagai permulaan bagi single solo anggota Inteam yang menyusul selepas ini.

“Setiap dari anggota Inteam mempunyai karakter suara dan kekuatan vokal masing-masing, jadi tahun ini kami cuba membuat kelainan dengan cuba menampilkan single solo setiap dari anggota kumpulan Inteam bermula dengan Hazamin,” ujarnya.

Single Di SisiMu turut dimuatkan sebagai trek bonus dalam album Zikir Munajat yang memuatkan 10 trek zikir. 

Muzik Video bagi lagu Di SisiMu yang menampilkan pelakon Imran Aqil  telah dipertontonkan dalam platform YouTube Inteam Digital manakala Album Zikir Munajat dan Single Di SisiMu ini telah diperdengarkan di semua platform digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN