KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri tidak bercadang untuk mengikut langkah Amerika Syarikat (AS) dalam melaksanakan dasar lebih keras bagi menghantar pulang pendatang tanpa izin (PATI) ke negara asal.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebaliknya pihaknya terus menambah baik prosedur kawalan dan penguatkuasaan imigresen bagi mengawal keberadaan PATI dalam negara.
“Antara usaha penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk kawalan sebelum kemasukan, penggunaan teknologi di pintu masuk serta operasi penguatkuasaan secara berterusan.
“Kita juga melaksanakan kawalan ketat terhadap keberadaan PATI selain memperkukuh tindakan pengusiran,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Azahar Hassan yang meminta penjelasan mengenai kemungkinan KDN mengikut dasar AS dalam usaha menangani isu lambakan warga asing di Malaysia.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, sejak 1 Januari hingga 10 Mac 2025, Jabatan Imigresen telah melaksanakan 2,679 operasi penguatkuasaan membabitkan tangkapan 9,904 PATI.
“Tangkapan ini melibatkan warga asing dari pelbagai negara serta 348 majikan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen.
“Bagi tempoh sehingga 9 Mac lalu, seramai 9,199 PATI telah diusir keluar dari negara ini,” katanya. – UTUSAN