KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang meneliti untuk memasukkan tanaman padi bukit ke dalam kadar sara diri beras (SSR) negara bagi Sabah dan Sarawak, memandangkan jumlah pengeluarannya yang signifikan.
Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kawasan tanaman padi bukit di Sabah mencatat keluasan 11,960.19 hektar manakala di Sarawak seluas 15,497.50 hektar.
“Pada masa ini, tanaman padi bukit tidak diambil kira dalam SSR negara kerana ia ditanam secara semi-tradisional dan bergantung kepada sumber air semula jadi.
“Namun, dengan jumlah keluasan dan pengeluaran yang tinggi, kementerian melihat potensi besar untuk menjadikannya sebahagian daripada pengiraan SSR,” katanya dalam sidang Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Bobbey Suan mengenai impak bantuan kerajaan kepada pesawah padi huma serta insentif lanjutan bagi tahun ini.
Menurut Arthur, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM53.46 juta pada 2024 bagi membantu pesawah padi bukit di Sabah dan Sarawak melalui Skim Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB).
“Bantuan ini melibatkan subsidi baja sebatian, baja urea cecair dan racun rumpai kepada 33,597 pesawah yang mengusahakan 27,457.69 hektar tanaman padi bukit.
“Ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan hasil pertanian tetapi juga menyumbang kepada peningkatan pendapatan komuniti setempat,” katanya.
Tambahnya, kerajaan komited meneruskan pemberian subsidi input pertanian bagi 2025 dengan peruntukan yang sama demi memastikan kelangsungan produktiviti pesawah dan memperkukuhkan sektor pertanian di kedua-dua negeri tersebut. – UTUSAN