DEWAN NEGARA: KPKT perhalusi tindakan lebih tegas pemaju

DEWAN NEGARA: KPKT perhalusi tindakan lebih tegas pemaju terlibat projek sakit

Datuk Aiman Athirah Sabu - Jabatan Penerangan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang memperhalusi Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) bagi memperkukuhkan tindakan terhadap pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan mengikut jadual.

Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, langkah itu bagi mengelakkan projek perumahan sakit dan terbengkalai, sekali gus melindungi hak pembeli yang terkesan.

“KPKT mengambil tindakan tegas dengan menyenarai hitam pemaju perumahan serta ahli lembaga pengarah syarikat yang terlibat dengan projek sakit. Mereka juga akan disekat daripada memohon lesen pemajuan baharu dan akaun pemajuan perumahan (HDA) sedia ada turut dibekukan.

“Menteri juga mempunyai kuasa untuk mengesahkan projek terbengkalai sekiranya tiada aktiviti pembinaan selama enam bulan berturut-turut, selain memberikan arahan khusus bagi memastikan pematuhan undang-undang,” katanya pada sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk C. Sivarraajh berkenaan masalah kualiti projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta tindakan terhadap pemaju yang gagal membaiki kecacatan binaan.

Tambah Aiman, PR1MA telah mengambil langkah menambah baik pemantauan pembinaan termasuk melalui Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (QLASSIC) yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Bagi melindungi pembeli, PR1MA menyediakan Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) selama 24 bulan selepas milikan kosong. Aduan kecacatan boleh dibuat melalui aplikasi PropKita dan akan dibaiki dalam tempoh selewat-lewatnya 30 hari bergantung kepada tahap kerosakan,” katanya.

Jelasnya, bagi projek yang mengalami kelewatan, PR1MA telah membayar ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) berjumlah RM211 juta kepada pembeli yang layak selain melantik kontraktor penyelamat bagi memastikan projek dapat disiapkan.

“KPKT juga bekerjasama dengan institusi kewangan untuk mempertimbangkan penstrukturan semula bayaran pinjaman bagi pembeli yang terkesan akibat projek perumahan terbengkalai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya