KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan caj pendaftaran RM1 bagi mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan kerajaan.
Ia bagi mengekalkan akses perkhidmatan kesihatan yang mampu milik dan inklusif untuk semua rakyat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sistem kesihatan negara telah lama menyediakan Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) yang memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan berkualiti tanpa bebanan kewangan yang boleh memudaratkan.
“Kadar caj yang rendah ini bukan satu kelemahan, sebaliknya adalah kekuatan sistem kesihatan negara. Ia membolehkan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, mendapat rawatan tanpa perlu bimbang mengenai kos yang tinggi.
“Pendekatan ini selaras dengan amalan terbaik global dan menjadi penanda aras emas dalam pembiayaan kesihatan, seperti yang diamalkan di beberapa negara maju seperti Thailand, Hong Kong dan Australia,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Titah Diraja di Dewan Negara.
Beliau menjawab cadangan Senator Noorita Sual dan Senator Datuk Rosni Sohar yang mencadangkan supaya caj pendaftaran RM1 dikaji semula kerana dianggap terlalu rendah dan tidak mencerminkan kos sebenar perkhidmatan kesihatan.
Menurutnya, sistem pembiayaan kesihatan di Malaysia yang berasaskan hasil kerajaan telah memastikan perkhidmatan kesihatan kekal mampu milik, sekaligus membolehkan rakyat mendapatkan rawatan tanpa mengira latar belakang ekonomi.
“Matlamat utama kita adalah memastikan sesiapa sahaja, sama ada daripada golongan B40 atau pesakit kanser daripada kumpulan T20 yang telah menghabiskan simpanan hidup untuk rawatan, tetap mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
“Inilah janji kerajaan kepada semua rakyat Malaysia untuk memastikan fasiliti kesihatan awam akan terus menjadi benteng utama dalam memberikan rawatan perubatan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membangunkan beberapa inisiatif untuk memperkukuh kemampanan sistem pembiayaan kesihatan negara tanpa membebankan rakyat.
“Antara inisiatif yang sedang dirangka termasuk program Rakan KKM yang memberi peluang kepada sektor swasta dan individu untuk menyumbang kepada peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan awam.
“Selain itu, kerajaan juga sedang meneroka pelaksanaan skim insurans atau takaful kesihatan asas bagi memastikan rakyat mempunyai perlindungan kewangan yang lebih baik untuk rawatan jangka panjang,” katanya.-UTUSAN