KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk meminda Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) bagi menangani isu sijil akademik palsu kerana peruntukan sedia ada mencukupi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, undang-undang tersebut sudah cukup untuk membolehkan pesalah dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Setakat ini, peruntukan yang ada sudah memadai,” katanya di Dewan Negara bagi menjawab soalan tambahan Senator Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam yang mencadangkan supaya Akta 555 dipinda untuk tindakan lebih tegas terhadap pihak terbabit.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, pihaknya bersetuju dengan cadangan audit terbuka ke atas pegawai tinggi kerajaan, termasuk Ahli Parlimen, senator dan menteri, bagi memastikan tiada penggunaan sijil akademik palsu.
Menjawab soalan asal Lingeshwaran mengenai pengurniaan ijazah doktor falsafah (PhD) palsu, beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi tidak menerima sebarang aduan mengenai institusi pendidikan dalam negara yang mengurniakan PhD secara tidak sah.
“Kami juga tidak mempunyai data mengenai individu yang menggunakan PhD palsu di dalam negara,” katanya.
Zambry berkata, setiap universiti awam mempunyai sistem pangkalan data yang menyimpan maklumat pelajar, termasuk siswazah PhD, dan data ini perlu dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan pada setiap suku tahun.
“KPT juga telah membangunkan sistem Graduate Reference Hub for Employment and Training bagi memudahkan rujukan maklumat penerima ijazah kehormat dan PhD dari universiti awam dan swasta,” katanya.-UTUSAN