KOTA KINABALU: Teka-teki mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah masih menjadi tanda tanya biarpun penggal pemerintahan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus akan berakhir September ini.
Namun, gesaan Jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membubarkan DUN lebih awal disifatkan sesuatu yang tidak wajar.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, hak untuk membubarkan DUN adalah kuasa prerogatif Ketua Menteri, jadi biarlah Ketua Menteri yang menentukan bila masa sesuai untuk membubarkan DUN.
Beliau berkata, sama ada DUN dibubarkan lebih awal atau sehingga habis penggal, biarlah ia ditentukan atas budi bicara Ketua Menteri setelah mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri.
“Berdasarkan undang-undang pilihan raya, selepas pembubaran DUN, kita masih ada masa 60 hari untuk mengadakan pilihan raya. Jadi, terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memutuskan tarikh pilihan raya.
“Kita serahkan kepada kebijaksanaan SPR untuk menentukan dan saya memberi keyakinan penuh untuk SPR buat keputusan yang terbaik,” katanya semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Media, di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, selama ini tidak timbul isu desakan pembubaran DUN lebih awal dan tindakan Bersih seolah-olah ingin mencari publisiti.
Kata beliau, undang-undang pilihan raya sedia ada sudah cukup baik dengan memberi tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya setelah DUN dibubarkan.
Menurutnya, tidak kira bila pilihan raya diadakan, sentimen parti tempatan di peringkat akar umbi sangat kuat, jadi beliau yakin kemenangan akan berpihak kepada GRS.
“Sebelum ini kita sudah pernah dipimpin oleh parti-parti daripada luar Sabah, namun hasilnya kita semua sudah maklum. Jadi, rakyat memerlukan pemerintahan yang lebih baik dan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Hajiji Noor telah meletakkan Sabah pada landasan sepatutnya.
“Sabah yang dulu berada dalam keadaan tidak menentu. Apatah lagi selama 22 bulan di bawah pemerintahan kerajaan sebelum ini yang tidak mempunyai hala tuju yang jelas hingga menyebabkan prestasi ekonomi kita paling teruk,” katanya. – UTUSAN