KUALA LUMPUR: “Terbaik Datuk. Betul juga (merujuk kepada JDT tidak pernah kalah). Saya ‘on’ konsert Amy.”
Demikian jawapan balas seorang peminat yang memohon penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search untuk konsert solo pertamanya susulan berlangsung pada hari yang sama dengan perlawanan akhir Piala Malaysia pada 26 April depan.
Bagaimanapun, dalam nada seloroh, Amy menjawab;
“Tak perlu tengok sebab dah tentu JDT menang. Mana pernah JDT kalah,” balas Amy kepada pengikutnya itu.
Konsert Amy Search Magic First Solo Concert berlangsung sama tarikh dengan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC pada 26 April depan.
Malah, konsert tersebut juga bakal menggegarkan Axiata Arena bersebelahan perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan perubahan tarikh baharu bagi aksi final Piala Malaysia yang membabitkan pertembungan JDT dan Sri Pahang.
Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu dalam kenyataan memaklumkan tarikh baharu aksi final itu ditetapkan pada 26 April di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Untuk rekod, selepas 44 tahun bergelar anak seni, Amy bakal muncul dengan konsert solo pertamanya ‘Amy Search Magic First Solo Concert’ di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26 April ini.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 67, berkata konsert berkenaan akan menjadi detik penting dalam sejarah kerjaya seninya selepas lebih empat dekad berkelana dalam industri muzik.
Tiket untuk konsert itu sudah dijual sejak 5 Feb lalu di www.wowtix.com.my.-UTUSAN