PETALING JAYA: Kerajaan mengunjurkan pengurangan defisit fiskal sehingga 3.8 peratus untuk tahun ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan juga komited bagi menurunkan fiskal secara berperingkat bermula 2022 sebanyak 5.5 peratus dan 5.0 peratus pada tahun 2023 dengan mencerminkan langkah konsolidasi fiskal secara berterusan.
Katanya, penurunan defisit fiskal tahun lalu adalah lebih daripada sasaran Belanjawan dengan mencatatkan 4.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ia lebih rendah berbanding unjuran awal sebanyak 4.3 peratus. Ini turut selari dengan pengurusan hutang yang lebih berhemat, di mana pertambahan hutang baharu telah berkurang daripada RM92.6 billion pada tahun 2023 kepada RM77 bilion pada tahun 2024.
” Ini sekaligus menunjukkan kerajaan kekal komited dalam menyeimbangkan keperluan pembangunan dengan kebertanggungjawaban fiskal,” katanya menerusi Ucapan Penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan di Dewan Negara.
Menurut Amir Hamzah lagi, kerajaan komited untuk mengurangkan nisbah hutang kepada KDNK di bawah 60 peratus secara beransur-ansur dalam tempoh jangka masa sederhana seperti yang disasarkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 [Akta 850] yang telah berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024.
Justeru katanya, beberapa strategi telah disusun bagi memastikan matlamat pengurangan hutang dapat dicapai.
“ Kerajaan meneruskan langkah konsolidasi fiskal secara beransur ansur bagi memastikan pinjaman baharu adalah lebih rendah berbanding semasa pandemik tanpa menjejaskan pemulihan ekonomi negara.
“Di samping itu, kita akan memperluas asas hasil dan memastikan kutipan hasil yang mampan, antaranya memperluas skop cukai jualan dan perkhidmatan,” jelasnya. – UTUSAN