PETALING JAYA: Cabaran debat antara Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang dijadualkan berlangsung pada 23 Mac ini dibimbangi menjejaskan perpaduan antara masyarakat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, beliau berharap cabaran debat melibatkan agama itu tidak diteruskan.
Menurut beliau, debat atau perbincangan yang terlalu fokus pada perbezaan agama berpotensi mencetuskan ketegangan dan mengeruhkan hubungan antara masyarakat yang berbilang agama.
“Justeru, saya ingin menegaskan bahawa perbincangan atau perdebatan yang berkaitan dengan agama tidak seharusnya diteruskan jika ia hanya bertujuan untuk mencari perbezaan dan mengabaikan usaha untuk membina perpaduan.
“Perbincangan mengenai agama seharusnya dilakukan dengan penuh rasa hormat dan kesedaran terhadap kepelbagaian dalam masyarakat kita.
“Walaupun kita mempunyai pelbagai agama dan kepercayaan, adalah lebih utama untuk kita memberi fokus kepada titik persamaan dan nilai-nilai universal yang dapat menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Jumaat lalu, Saravanan dilaporkan menetapkan tarikh debat bersama Muhammad Zamri pada 23 Mac ini susulan kenyataan kontroversi individu tersebut membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.
Isu ini ini tercetus selepas tiga penyampai radio Era FM iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu dalam satu video pendek sehingga mencetuskan perasaan tidak senang dalam kalangan penganut agama tersebut.
Aaron menggesa semua pihak untuk memanfaatkan memanfaatkan platform Dialog Harmoni kendalian kementeriannya sebagai medium untuk memperkukuh kefahaman dan menghargai kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat dengan mengangkat titik persamaan.
Jelasnya, Dialog Harmoni dengan tema faham, hormat dan terima itu bagi membincangkan dan berkongsi amalan baik agama masing-masing serta nilai persamaan yang mampu meningkatkan hubungan antara penganut agama di negara ini.
“Saya juga ingin mengingatkan semua pihak agar terus berusaha untuk menjaga kestabilan negara dengan memelihara keharmonian antara kaum dan agama.
“Semua pihak, sama ada wakil rakyat, ahli politik, pemimpin agama, masyarakat, atau individu, perlu memainkan peranan masing-masing dalam memupuk perpaduan dan mengekalkan kesejahteraan negara,” katanya. – UTUSAN