Debat perbezaan agama keruhkan hubungan masyarakat - Utusan Malaysia

Debat perbezaan agama keruhkan hubungan masyarakat

MOHD Na’im Moktar berbual bersama pelajar ketika hadir pada program Erat Ramadan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Moktar turut berpandangan bahawa debat yang memfokuskan kepada perbezaan agama perlu dihentikan.

Menurutnya, idea pendebatan itu juga dilihat boleh mengeruhkan hubungan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Jadi saya setujulah dan sokonglah dengan apa yang disebut oleh rakan sejawat saya, Menteri Perpaduan, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berhubung perkara itu.

“Sebenarnya benda ini kalau dibuat secara terbuka, ia (debat) menyebabkan masyarakat akan lebih berpecah belah.

“Pihak-pihak yang terlibat ini perlu fikirkan dan memastikan kesatuan dan perpaduan rakyat di negara kita ini dapat diperkukuhkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Erat Ramadan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas satu debat terbuka yang ingin diadakan antara Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan penceramah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu.

Sebelum ini, Saravanan menerusi kenyataan memutuskan untuk tidak  meneruskan debat bersama Zamri itu.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Aaron dan Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran, polis dan pemimpin lain kerajaan yang tidak dinamakan.

Saravanan sebelum ini menetapkan 23 Mac untuk berdebat dengan Zamri berikutan kenyataan yang membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam seperti orang dirasuk atau mabuk.

Sebelum ini, Aaron Ago berkata, sebarang bentuk perdebatan yang memfokuskan kepada perbezaan agama perlu dihentikan kerana ia boleh mencetus ketegangan dan mengeruhkan hubungan masyarakat berbilang agama di Malaysia.

Beliau turut berkata, perbincangan mengenai agama seharusnya dilakukan dengan penuh rasa hormat dan atas kesedaran terhadap kepelbagaian dalam masyarakat di negara ini. 

 

Caption

 

MOHD Na’im Moktar berbual bersama pelajar ketika hadir pada program Erat Ramadan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya