PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan menyita serta-merta enam premis perniagaan yang meletakkan barangan jualan di tempat awam dalam operasi penguatkuasaan di Pasar Harian Selayang.
DBKL dalam kenyataan berkata, daripada jumlah tersebut, empat premis didapati dikendalikan oleh bukan warganegara.
“Tindakan ini diambil mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 bagi memastikan pematuhan peraturan serta kelancaran pergerakan di kawasan perniagaan.
“Operasi ini dilaksanakan melalui Operasi Bersepadu KL Strike Force dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan lain, termasuk Jabatan Imigresen Malaysia dan Majlis Perbandaran Selayang,” katanya.
Selain itu, semua barangan yang disita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras, Kuala Lumpur untuk tujuan dokumentasi dan rekod.
DBKL menegaskan bahawa tindakan pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang di lokasi-lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.
Orang ramai yang ingin menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan boleh berbuat demikian melalui pautan https://adukl.dbkl.gov.my/. – UTUSAN