PETALING JAYA: Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap penjaja air balang tanpa lesen di sekitar Jalan Raja, Kuala Lumpur.
DBKL dalam kenyataan berkata, hasil risikan dan siasatan mendapati penjaja sering bertukar lokasi perniagaan bagi mengelak dikesan anggota penguat kuasa mereka.
“Penjaja didapati menyembunyikan barang perniagaan di bangunan sekitar Dataran Merdeka.
“Operasi dijalankan susulan aduan orang awam yang tidak selesa serta meragui tahap kebersihan air yang dijual kerana peralatan perniagaan dibiarkan terdedah dan dikhuatiri tidak dibersihkan dengan sempurna,” katanya.
Menurut DBKL, kesemua barangan yang dikenakan tindakan sita dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan di lokasi tumpuan yang dikenal pasti.
Sebarang aduan, orang ramai boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di https://adukl.dbkl.gov.my/. – UTUSAN